Asal-Usul Subramaniam (dewa)

Dewa Subrahmaṇya dipercayai seorang dewa purba. Rujukan mengenainya didapati dalam inskripsi batu dan mata wang dari kurun ke-1 hingga ke-5 Masihi. Hari keenam bulan lunar dikenali sebagai Ṣaṣṭhi ialah hari suci untuk penyembahan Dewa ini (sama seperti dewa-dewa ular). Dewa Subrahmaṇya juga dikatakan telah berkahwin dengan seorang gadis rimba bernama Vaḷḷiamma. Vahana atau kenderaannya ialah burung merak. Kuil-kuil Subrahmaṇya juga sering wujud di atas bukit. Semua faktor ini menunjukkan kemungkinan Dewa ini ialah seorang dewa yang berkaitan dengan penyembahan ular dan penyembahan pokok.[3]

Dewa Subrahmaṇya ialah anak Dewa Śiva dan Dewi Pārvatī yang lahir untuk mengalahkan Tārakāsura. Dewa Śiva dan Dewi Pārvatī terpaksa bertapa bersungguh-sungguh dan berdoa untuk mendapatkan Subrahmaṇya sebagai anak Mereka. Kisah kelahiran Subrahmaṇya menunjukkan peranan penting doa dan pertapaan dalam memperolehi cahaya mata. Dewa Subrahmaṇya dikatakan telah lahir di sebuah belukar yang ditumbuhi rumput rumputan seperti anak panah, (maka dia mendapat nama Śaravaṇabhava) dan dibelai oleh enam orang ibu yang suci gugusan bintang Kṛttikā (Pleiadas). Maka, dewa ini juga bernama 'Kārttikeya' dan 'Ṣaṇmāthura'. Bagi menghisap susu dari enam orang ibu-Nya, Bayi ini mendapat enam kepala, dan mendapat nama 'Ṣaḍānana' atau 'Ṣaṇmukha' (Enam muka). Ketika masih muda, Subrahmaṇya telah dilantik sebagai komando angkatan tentera dewa dan mendapat nama 'Devasenāpati'. Dengan senjata-Nya yang berkuasa, Śakti, dewa ini mengalahkan dan menghapuskan Tārakāsura, dan demikian mendapat nama 'Śaktidhara' dan 'Tārakāri'. Keremajaan dan ketampanan-Nya mendapatkan-Nya nama 'Kumāra' atau 'Sanatkumāra'. Dewa ini juga dikenali sebagai 'Śkanda' kerana dia seorang pahlawan yang berani dan seorang yang telah memperolehi sakti akibat kesuciannya. Dewa ini menyukai orang-orang yang suci dan golongan Brāhmaṇa dan oleh itu, dikenali sebagai 'Subrahmaṇya'. Pada suatu ketika, dewa ini juga mendedahkan kejahilan Dewa Brahma akan ayat-ayat suci Veda, dan oleh itu, mendapat nama 'Brahma Śāstā.[4] Dalam tradisi mistik, Dewa ini dipanggil sebagai Guha kerana Dia menetap di dalam gua (Guha) hati penganut-penganut-Nya.

Matlamat utama penjelmaan Subrahmaṇya ialah untuk menewaskan kejahatan dan membebaskan golongan dewa yang berada dalam tahanan setan. Tiga setan-setan, Surapadma, Simhamukha dan Tarakasura mewakili tiga faktor utama kejahilan, iaitu ego yang mementingkan diri sendiri, kemarahan, dan ilusi. Skanda menghapuskan factor-faktor kejahilan ini dengan tombak-Nya yang umpama ilmu.[5]

Nakkirar, seorang penyair Tamil, memberikan maksud enam muka Shanmukha. ‘Satu muka-Nya menghilangkan kegelapan dan kejahilan dunia dan meneranginya dengan cahaya; yang kedua memberikan rahmat kepada para penganut, yang ketiga melindungi Yajna; yang keempat membincangkan tentang Ilmu Atman; yang kelima menghapuskan kejahatan; dan  keenam melihat dengan penuh cinta muka Valli, isteri-Nya.”[6]

Dewa ini sering digambarkan sebagai seorang budak lelaki yang berkepala satu dan bertangan dua atau berkepala enam dan bertangan dua belas. Burung merak dan tombak-Nya juga sering diberikan keutamaan. Seekor ayam jantan menghiasi bendera-Nya.